Thursday, August 26, 2010

Jejak Sumur Kemboja (2)


Madrasah Mosolla Al-Mubarik, Kampung Khlangsbak

Kami di sambut oleh Ustaz AbdusSamad, Presiden Yayasan Al-Rahmah Kemboja di lapangan terbang antarabangsa Phnom Penh pada petang 19 Ogos itu. Pesawat kami mendarat pada kira-kira jam 4.30 petang. Kami terus di bawa ke kampung beliau kira-kira 1 jam dari kota Phnom Penh dengan sebuah kereta sewa yang dipandu abang beliau yang bernama Romli. Kami bermalam di rumah beliau pada malam itu.

Rumah Ustaz AbdusSamad betul-betul bersebelahan dengan Madrasah Musolla Al-Mubarik. Malah, ada jambatan dari tingkat atas rumah beliau ke ruang atas musolla. Kata seorang sahabat Malaysia (seorang businessman dan juga penyumbang wakaf telaga) yang mengikuti saya ke Kemboja... "ana teringat masa zaman Rasulullah dulu... di mana rumah-rumah Nabi itu bersambung dengan masjid..". Madrasah ini diasaskan oleh arwah bapa beliau dan dia mewarisi madrasah ini. Madrasah ini bolehlah dikira berfungsi sebagai many-in-one. Di sinilah tempat orang-orang kampung berkumpul, mengaji, solat, khenduri dan sebagainya. Dari kanak-kanak kecil, remaja dan orang dewasa, pelbagai kelas-kelas pengajian di atur oleh Ustaz AbdusSamad untuk mereka. Memang jelas dari pemerhatian saya, ustaz dipercayai dan sangat dihormati oleh semua orang di kampung ini walaupun umurnya masih muda baru dalam lingkungan 36 tahun.

Anak-anak kecil perempuan yang datang belajar di madrasah. Anak-anak Kemboja memang comel-comel dan cantik-cantik belaka.

Kelas pengajian untuk anak-anak remaja perempuan di bawah surau.

Nampak macam ok-ok aje madrasah ini. Namun sebenarnya terlalu banyak ranjau di dalam pembinaannya. Sedikit demi sedikit dengan dana yang ada, ianya dibentuk dari sebuah yang sangat dhaif kepada yang sederhana seperti yang sekarang ini. Malah renovasi yang terakhir dibuat ialah untuk membuat bumbung di atas bumbung konkrit di tingkat satu kerana ianya terlalu panas. Mereka masih lagi berhutang dengan kontraktor sebanyak USD 700. Mereka bertawakkal sahaja, mencari dana sedikit demi sedikit untuk membayar hutang tersebut kepada kontraktor yang alhamdulillah sangat memahami dan sanggup berkorban... masyaALlah....

Atas permintaan khas saya, akan ditambah perkataan "MALAYSIA" nanti di nama surau ini.

Dengan kuasa ALlah SWT, selesai berbuka bersama-sama jamaah (kami sponsor majlis berbuka tersebut) dan bertarawikh, sahabat saya dengan tiba-tiba telah memberikan USD700 kepada ustaz untuk melangsaikan hutang dengan kontraktor tersebut. Tak tidur malam ustaz rupa-rupanya kerana terlalu terharu dengan penyelesaian yang datang secara tiba-tiba dari Allah SWT. Bayangkanlah, dia bercerita dengan saya yang dia pernah ke Malaysia untuk minta bantuan tetapi apa pun tak dapat kecuali USD100 dari ACT. Ke sana ke mari beliau pergi, namun tidak berjaya. Tiba-tiba sahaja....selesai! Alhamdulillah. Inilah namanya "wayarzuqhu min hai thu laa yahtasib.." - rezeki yang datang dari arah yang tidak disangka-sangka. Esoknya saya secara berjenaka meminta ustaz menambah satu lagi perkataan kepada madrasah beliau.... iaitu... "MALAYSIA"!. Ustaz sangat-sangat bersetuju, katanya akan ditambah perkataan Malaysia di situ. Mana aci... Indonesia punya nama ada! Malaysia tak ada?? :-) Perkataan Indonesia itu juga ada sejarahnya beberapa tahun yang lalu. Ringkasnya sebahagian dari kos pembinaan surau ini disumbang oleh seorang anggota parlimen dari Indonesia yang kebetulan masuk kampung orang Islam untuk melihat-lihat. Bila dia nampak satu bangunan seakan-akan musolla, dia singgah dan terus beri bantuan kewangan. Jadi ustaz menambah nama Indonesia di nama madrasah beliau. Sekarang, ada tambahan lagi... MALAYSIA.. :-)... me and my big mouth.. :-)

Sebahagian kanak-kanak dan kaum wanita yang makan di bahagian bawah surau.

Manakala jemaah lelaki pula di atas. Ini gambar dengan sebahagian jamaah.

Berbalik kepada berbuka puasa pulak, ada satu cerita lucu. Kami berbuka puasa dengan jamaah dan orang kampung. Rasanya kalau campur kanak-kanak dan orang perempuan ada dalam 150 orang lebih. Makanan berbuka puasa kami ialah bubur (macam bubur lambok) dan bubur manis (ada semacam cendol di dalamnya). Minuman pula.... radix cola! Haa... rupa-rupanya rata-rata bagi orang kampung minuman bergas ni semacam satu 'delicacy', bila ada special occasion (dan ada bajet) mereka akan ambil peluang minum minuman ini. Kebetulan ada pula radix cola dijual, apa salahnya.. :-). Selesai makan bubur kami terus solat dan setelah itu terjadilah kisah lucunya. Saya dan sahabat saya tertunggu-tunggu makanan untuk 'second-round', tapi tak muncul-muncul. Risau kami dibuatnya tapi segan nak tanya pula! Rupa-rupanya itulah sahaja yang biasanya orang Kemboja makan untuk berbuka. Yang lain-lain tu ikut kemampuan sendiri. Kami makan nasi lepas tarawikh yang disediakan isteri ustaz di rumah ustaz dan ketika itu barulah saya bertanya. Kata ustaz, penduduk-penduduk kampung rata-rata miskin. Jadi, makan seperti berbuka puasa itu kira dah oklah dan menjadi kebiasaan. Mereka tak makan nasi seperti kita bila berbuka. Di rumah ustaz ada seguni beras yang memang beliau sediakan untuk orang-orang miskin yang datang minta bantuan. Ustaz ni pun bukannya orang senang, tiada bergaji. Yang ada hanyalah harta peninggalan arwah ayah beliau; rumah dan madrasah itu.

Saya sangat mengkagumi kesungguhan dan ketokohan ustaz ini...

(akan bersambung)...

1 comments:

Abd. Rahim Sentol said...

Saya sudah beberapa tahun mengembara di seluruh Kemboja terutama di kawasan panduduk Islam di mana jua. Pada pemerhatian saya selama ini memang mereka miskin dan perlukan bantuan. Cuma jika bantuan ini lebih tertumpu kepada ibadah qurban dsn pembinaan masjid saja, umat Islam di sana tidak begitu tertolong. Bidang pendidikan dan permodenan pertanian hendaklah diutamakan di samping bantuan asas seperti telaga pam dan pembinaan tandas yang sesuai dari segi kebersihan. Selain itu bentuk pemberian bantuan ini hendaklah diurus secara lebih telus dan bijaksana. Terlalu banyak contoh ketirisan dan penyelewengan bantuan berlaku. Cara pemberian bantuan percuma 100% selama ini telah menyebabkan orang Champa menjadi manja dan kurang berdikari serta bertanggung jawab. Kita sangat kurang dalam aspek khidmat nasihat dan tunjuk ajar kepada mereka mengenai pengurusan masjid dan madrasah, apa lagi dalam membentuk organisasi dan koperasi. Jika industri desa mereka dapat dihidupkan melalui pinjaman-pinjaman kecil secara mudah, barangkali 10 atau 20 tahun lagi mereka boleh berdikari, itu pun jika mentaliti mereka diasuh ke arah yang demikian. Sikap mementingkan diri, tidak amanah dan abai kepada kepentingan ilmu serta ekonomi adalah antara beberapa hambatan yang perlu kita betulkan sebelum sesuatu projek diperkenalkan. Pelajaran agama di madrasah juga perlu diberi nafas baru supaya pemahaman Islam yang lebih syumul dapat diketengahkan. Akhir kata, saya sebagai orang yang simpati dan ingin berbakti kepada masyarakat mereka, menawarkan diri untuk muzakarah dengan Datuk atau mana-mana pihak yang berminat supaya uamat Islam di mana jua terbela, wasalam.